Kencing manis, Cancer, Saya dan Diet Pemakanan
Assalamualaikum semua,
Beberapa hari lepas suami beritahu saya, ada satu kenalan dia (tak berapa rapat) meninggal dunia dalam tidur. Ada yang lagi sorang tu kena stroke. Bulan lepas ada sorang hotel staff meninggal dunia akibat kencing manis (paras gula terlalu tinggi). Kesemua yang diatas ni ada penyakit kencing manis.
Saya pun pesakit kencing manis. Dah tiga tahun iaitu sejak tahun 2010. Tapi saya kena ni kemungkinan besar disebabkan keturunan. Arwah tok dan tok wan saya ada kencing manis, mak dan bapa saya ada kencing manis. Ikutkan saya memang kurang berminat dengan benda-benda manis. Kalau ada sesiapa hadiahkan saya sekotak chocolate, alamatnya berbulanlah chocolate tu dalam peti sejuk. Budak2 dirumah pun kurang makan. Ais krim pun saya tak berapa gemar. Sekali sekala tu okay la tapi bukan selalu. Air minuman bergas pun saya kurang. Jadi bila dapat tau saya kena kencing manis ni, saya agak terkejut jugak lah.
Kencing manis ni sewajibnya kena pantang makanan bergula tinggi ataupun terlalu manis. Saya masih ingat arwah bapa saya dulu, dia suka bubur kacang. Bila dia teringin dia suruh mak saya masak. Mak saya pun masak dan cuba kurangkan gula ikut arahan doktor. Apa lagi, bising lah bapa saya. Lebih kurang begini katanya, " Selagi boleh makan kita makan, kalau nak mati bila-bila pun boleh mati. Jadi mau tak mau mak saya kena masak ikut sukatan macam selalu lah.Saya rasa generasi dulu memang suka makanan yang sangat manis kot sebab kesemua mereka suka sungguh dengan manisan.
Selepas kena kencing manis, saya dimaklumkan pula ada batu hempedu. Harus dibedah.Dah pun dibedah dua tahun lalu. Selepas tu darah tinggi. Tak lama lepas tu, saya dikejutkan pula dengan breast cancer. Dah pun dibedah juga dua tahun lalu iaitu dua bulan selepas pembedahan batu hempedu. Semasa mengambil rawatan kimoterapi,saya terbaring pula dengan kesakitan yang amat perit selama lebih kurang seminggu disebabkan shingles ataupun bahasa melayu kayap. Ya Allah! Sakitnya sangat-sangat memeritkan. Saya tengok satu rencana di TV mengatakan sakit kayap ni kadang-kala mengatasi sakit orang nak bersalin. Apa pun,alhamdulilah, setakat ni saya masih sihat berkat doa semua dan kasih sayang dari ahli keluarga.
Kalaulah saya ni seorang doktor, agaknya dah jadi doctor yang hebat sebab hampir semua jenis penyakit pernah saya hidapi.
Apa yang ingin saya kongsi ialah, cara saya menjaga makanan harian. Ada ramai kawan dan kenalan yang memberi petua dan nasihat bagaimana nak jaga makanan terutama bagi pesakit seperti saya ini. Mana yang boleh saya ikut, saya ikut. Terlalu banyak pantang dalam makanan dan minuman harian.
Jadi apa yang saya buat ialah, saya baca apa saja bahan berkaitan penyakit yang saya hidapi ini. Tak kiralah bahan bacaan tu dari, T.V ke, radio ke, google ke, majalah atau suratkhabar , semua saya baca. Dari situ saya buat kesimpulan sendiri dan saya ikut cara saya sendiri.
Contohnya, minuman harian saya pada pagi hari ialah Milo O tanpa gula. Petang Teh O tanpa gula. Tapi bagi pesakit kencing manis ni, kadang-kadang terasa macam teringin sangat nak makan atau minum yang manis-manis. Jadi apa yang saya buat ialah, Saya buat Teh O ais dengan gula seperti biasa. Ahli keluarga yang lain boleh tumpang minum. Untuk saya pula, saya akan tuangkanTeh O ais tadi kedalam gelas anggaran suku gelas saja. Selepas tu saya tambahkan dengan air kosong setengah gelas. Memang la kalau orang lain minum, mahu dibuangnya air tu. Tapi sebab saya dah biasa, rasa okay saja. Saya buat macam tu bagi nak buang rasa teringin tu ja. Ikut peribahasa kita, alah bisa tegal biasa.
Macam tu juga dengan sarapan pagi saya, saya tak makan nasi lemak, saya jarang makan mee atau bihun goreng, kalau roti loaf pun tak banyak, setakat sekeping atau dua keping saja. Tak boleh bakar sebab bila dibakar ia akan produce karbon yang mana tidak baik untuk pesakit kencing manis. Kalau roti canai saya hanya makan sekeping saja. Selalunya setiap pagi sarapan saya ialah dua biji karipap dan satu jenis kuih yang manis. Itu saja.
Selepas sarapan, saya tak makan apa dah sampai lunch time. Sekarang dirumah saya pakai beras Basmathi, bukan sebab kaya atau perasan tapi sebab beras ni kurang paras gulanya. Daging juga kurang elok untuk pesakit cancer. Susu, cheese, butter dan produk yang seangkatan dengannya pula tidak elok untuk pesakit kencing manis. Kalau nak makan pun secara berpatutan. Saya pula benda berlemak ni yang paling saya suka. Kalau buat spaghetti, kalau boleh setengah cawan pun boleh saya tabur parmesan. Sekarang dah sebab semua benda ni boleh memudaratkan, saya kurangkan atau tak makan langsung sampai berbulan lamanya.
Bila saya berpantang makan, maknanya saya harus berpantang untuk dua penyakit, kencing manis dan cancer. Benda yang paling saya suka ialah durian dan pulut. Dua-dua makanan ni mempunyai peratusan gula yang tinggi didalamnya. Macam nak menangis juga masa mula-mula dulu nak ikut pantang ni. Ada separuh orang pulak kata, pesakit cancer tak boleh langsung makan pulut. Jadi seperti yang saya kata tadi, saya ikut cara sendiri, saya makan juga makanan kegemaran saya tapi tak banyak. Kalau pulut tu saya makan dalam dua tiga suap saja. Bab durian pulak, habis banyak pun saya makan dua ulas saja. Janji dapat rasa. Mungkin ada yang tak percaya, tak kan saya boleh tahan makan macam tu. Pelik tapi benar! Haha.. Betui, saya tak buat lawak ni. Memang macam tu saya makan.
Makan malam saya lagi senang, saya tengok apa yang tinggal. Kalau ada sambal tumis siang tadi, saya ambik dan saya makan dengan roti loaf sekeping atau dua. Saya memang tak berapa gemar makan nasi, jadi senang la sikit nak control. Kadang-kadang saya buat roti (lebih kurang paratha macam tu) dan saya makan dengan kari apa-apa yang ada. Haa, kalau roti macam ni saya boleh makan sampai dua keping.
Dulu berat badan saya 79 atau 80 kg. Selepas kena kencing manis hampir setahun, saya mula rasa badan saya semakin susut. Mula-mula saya risau juga ingatkan cancer saya balik semula. Bila saya jumpa doktor dan tanya dia berkenaan hal ni, dia bagi tau sebabnya . Katanya gula boleh menyebabkan kita menjadi gemuk. Jadi bila saya dah kurangkan gula seminimal yang boleh, dengan sendirinya badan saya mula susut.
Kata doktor tu lagi, penyakit yang paling jahat ialah kencing manis sebab dari kencing manislah akan bermulanya penyakit lain pulak seperti darah tinggi, jantung dan buah pinggang.
Sekarang selepas tiga tahun berat saya dah jadi 69kg. Tak payah nak diet.
Tapi apapun, memang payah nak kurangkan segala jenis makanan yang kita suka. Buah baik untuk kesihatan kita. Tapi bagi pesakit kencing manis, walaupun buah memang kena makan tapi tak boleh banyak-banyak terutamanya buah yang manis seperti pisang, tembikai atau betik. Kalau nak makan, cuma makan sepotong saja. Bukan sepotong yang besar ya.
Jadi kalau saya buat ulasan selari mengenai pemakanan harian saya, ia akan jadi begini : sarapan pagi; 2 karipap & sepotong kuih manis (seperti tepung talam), lunch; nasi, ulam dan ikan (ikan yang paling saya suka,nasib baik boleh makan yang ni) dan malam roti dua keping cicah dengan kari.
Saya tak salahkan pesakit2 kencing manis yang lain sebab saya tau godaan makanan tu macam mana. Segala macam makanan yang manis dan sedap dah tak boleh makan. Ouii, payah tu nak control.
Tambah kalau orang yang macam saya ada tiga jenis penyakit ni lagilah banyak pantangnya. Gulai ikan masin, sangat-sangatlah saya menyukainya. Dah tak boleh nak makan banyak sebab masin. Telur masin tak boleh, ikan talang kering tk boleh, potato chips pringles tu pun tak boleh. Semua ni berasaskan garam yang banyak. Mana la badan tak susut. Kesian kat saya.
Jadi, moral of the story, kena kuat iman. Cuci mata ja dengan makanan yang boleh buat air liur meleleh tu. Apa nak buat dulu muda-muda makan tak hengat dunia. La ni baru nak bersedih. Dah terlambat sikit dah.
Saya harap dan ajak kawan-kawan yang ada penyakit terutamanya kencing manis, jagalah pemakanan anda sebaik mungkin. Satu penyakit saja masih senang nak jaga cuma kurangkan gula saja. Jangan biar ia melarat ke penyakit lain. Masa tu dah susah nak jaga.
Salam dari saya dan selamat malam.
Rose
11th.Oct '13