Jalan-jalan cari makan diLangkawi

Salam sekali lagi buat semua,

Hari ni dah masuk hari ke empat kita berpuasa bagi tahun ini  iaitu 2013 (bersamaan dengan 4 Ramadhan 1434 tahun Hijrah). Alhamdulillah, kita semua dapat melakukannya dengan baik sekali di bumi Malaysia ni.

Buat orang-orang Malaysia, pasti ramai yang pernah sampai ke Langkawi dah kan? Benda paling penting semasa di Langkawi ialah...shopping pinggan mangkuk dan juga buah tangan seperti choklat dan ikan bilis. Tapi tu lah bak kata orang, benda yang ada depan mata kita buat tak nampak, bila tak ada baru nak cari. Macam sayalah, tak ingat nak beli semua benda-benda ni. Cuba kalau duduk di luar Langkawi, sudah pasti saya pun akan simpan duit nak ke sini membeli belah barangan ni.

Bila dah melancong ni, perkara yang paling penting adalah makan. Kat mana nak cari makanan yang sedap, yang murah dan pasti nya bersih. Jom, hari ni kita "hunt" kedai-kedai makan yang harganya boleh di terima oleh poket kita.

Kita mulakan dari Kuah menghala ke jeti. Dalam 500meter sebelum sampai kejeti tu, ada medan selera sebelah kanan kita. Kedai yang first dari arah kita datang tadi, dia punya laksa boleh tahan. Kawan saya dari Kuala Lumpur suka makan kat sini sebab antara bahan sayurnya ialah pucuk gajus (kalau sebelah sini orang sebut janggus) Ikut musim juga nak dapat pucuk ni. Ada banyak lagi hidangan lain macam bubur kacang dan beberapa jenis bubur lain serta makanan asas yang selalu ada di gerai makan melayu. Sama deretan dengan gerai ni tapi disebelah hujung sekali, ada satu gerai nasi lemak, Nasi lemak Saloma nama gerai tu. Boleh tahan la nasi lemak dia tapi disebabkan kurang "mesra alam" saya dah malas nak ke sana lagi dah.

Kalau nak masakan melayu yang agak sedap di pekan kuah, ada dua kedai yang saya suka. Bersebelahan dengan Istana Kondo (apartment). Nama kedai tu Pak Aq nasi campur. Lauk-pauk dia mak-cik2 yang masak. Jadi cara masakan tu rasa macam masakan di rumah. Cuba gulai ikan kering dia, bau dia ja dah cukup membuka selera. Harganya agak mahal tapi berbaloi bagi saya sebab rasanya sedap. Kedai ni pagi pun dah buka. Ada gerai roti canai di situ.
Lagi satu kedai nasi campur melayu terletak dekat dengan Idaman Suri. Sebut saja Idaman Suri semua dah besar mata ya! Ikut saja kaki lima Idaman Suri sampai ke hujung. Jalan ke depan sikit lagi dah jumpa, Zainas Restaurant. Sini pun sedap juga lauk lauknya dan harganya lebih kurang harga gerai dekat Kondo Istana tadi.
Rest Haji Ali
Kalau nak nasi kandar yang sedap atau boleh tahan di Langkawi ni, pergi ke Rest Haji Ali. Kalau kita dari jeti menghala ke ke pekan Kuah, bila jumpa lampu trafik yang pertama, ambik kiri. Perlahankan kereta dan dah boleh nampak restoran tu dari dalam kereta. Terletak di sebelah kanan kita. Sepinggan nasi dengan seketul ayam, seketul ikan dan sayur lebih kurang RM8.00. Tapi biasa la, standard harga kedai mamak memang  macam ni.
Pandu kedepan lagi, tengok deretan medan selera sebelah kiri. Berhentikan kereta dan park kat mana-mana yang kosong, cari EE Burger. Tapi dia orang buka sebelah malam ja. Hari Jumaat tutup. Kedai ni semua pekerja dia budak lelaki. Sambil menunggu order saya sampai, sempat saya menghitung ada lebih kurang 15 orang pekerja yang saya namapak pada waktu tu. Cepat gerak kerja mereka dan pesanan kita pun cepat sampai. Harga fish & chips dia, kalau tak silap dalam RM9.00. Semua harga kat sini sangat-sangat berpatutan. Anda nak nasi lemak? Ada, Anda nak spaghetti? Ada. Anda nak satay? Pun ada. Burger dah tentu ada sebab nama dia  pun EE Burger. Harga setiap burger dia pun murah, tak lebih dari RM5.00. Namakan saja apa yang anda nak, kebanyakannya ada di sini.  Sebab tu, kedai ni tak pernah putus pelanggan. Kalau tengok dari depan, nampak outlet ni macam buruk dan tak bermaya. Tapi bila dah masuk, ok juga kat dalam, luas dan lapang.
Ada lagi satu kedai makan macam ni. GM Burger. Bekas staff EE Burger ni dulu. Kedai dia terletak di Kelibang. Perjalanan menghala ke Padang Matsirat juga. Betul-betul selepas stesyen minyak Shell. Buka sebelah malam juga. Menu nya sama macam kat EE Burger. Semua ada. Tapi bagi saya, saya lebih suka EE punya makanan.
Kepada yang menginap di hotel di Kuah dan tak tau tempat nak cari makan untuk sarapan, ni ada beberapa tempat yang menjual kuih muih dan nasi lemak di waktu pagi. Kalau menginap di Hotel Seaview, keluar dari hotel, ambik sebelah kanan. Kalau jalan kaki pun boleh, dekat saja. Ada simpang kat depan Quarters Kastam, ambik kanan. Dalam 50 meter kedepan, ada gerai jual kuih muih dan nasi lemak. Tapi nasi lemak dia memang mahal, pada pandangan saya.
Lagi satu gerai kuih, terletak bersebelahan dengan Langkawi Parade. Betul-betul sebelah shopping mall ni.
Kalau kat restaurant melayu yang ada jual kuih, pergi ke Ikhwan Rest. Agak susah saya nak beritahu tempat ni, tapi cuba cari Kamdar atau Bank Simpanan Nasional. Restoran ni berada dekat-dekat sini.
Lagi satu gerai kuih bertentangan dengan Nissan Langkawi. Dekat dengan masjid Kelibang.
Kalau kedepan pulak sikit menghala Pdg Matsirat juga, selepas stesyen miyak petronas, ada traffic light buat pusingan U dan perlahankan kereta. Ada satu kedai kopi menjual semua jenis makanan Malaysia. Dari nasi lemak ke roti canai ke kuih muih dan juga bihun dan mee goreng. Boleh singgah dan minum kopi di sini.

Saya dah habis rasanya buat liputan di kawasan Kuah. Moh kita ke Padang Matsirat pulak. Ada satu kedai ikan bakar yang paling laris di sini. Nama kedai tu Jom Ikan Bakar, kalau tak silap saya. Saya cuma kenal tuan kedai tapi selalu terlupa nama kedainya. Memang berpatutan harga lauk pauk dia. Ramai orang setiap hari kat sini sampai kadang2 tu malas pulak saya nak singgah sebab terlampau ramai. Untuk semua yang melancong bersama keluarga, tempat ni tak mahal jadi tak la sakit sangat bila nak bayar tu. Kat mana kedai ni? Ok, kalau anda ikut highway dari Kuah, anda akan sampai ke round about (dekat airport). Di round about ni, ikut turutan  pukul 3 dan anda akan menghala ke Padang Matsirat. Terus lagi dalam 300 meter, perlahankan kereta. Kedai ni di sebelah kanan. Landmark kedai ni, bertentangan dengannya ada medan selera ber bumbung tinggi. Tengok ada ramai orang, hah, kat situlah tempat dia. Dia bukak untuk lunch saja.
Kalau nak kuih muih yang betul-betul sedap seperti talam ubi kayu, tengok satu gerai ni bersebelahan masjid Padang Matsirat. Betul-betul sedap talam ubi kayu dia. Dia mula buka dari jam 2 petang gitu. Ditempat yang sama juga, pada sebelah malamnya pulak ada medan selera yang menjual nasi lemak dan nasi tomato. Harga dia sangat berpatutan. Ada roti boom pun disitu.
Chef Corner terletak berdekatan dengan round about airport. Boleh nampak dia punya signboard. Sedap juga kat sini pun. Ada macam-macam hidangan.

Seafood di Langkawi. Hemm kat mana ya? Dekat jalan Bukit Malut ada satu kedai nama dia Restoran Selera Nelayan. Mungkin ramai yang dah tahu pasal kedai ni. Tak terlalu mahal dan agak sedap makanan dia. Dari arah Kuah ke Pdg Matsirat, bila sampai berdepan dengan hospital Langkawi, ada 1st punya traffic light. Jalan terus. Selepas lebih kurang 100 meter, ada satu lagi traffic light. Haa, kat sini ambk kiri. Drive perlahan2 dan dalam 200 meter di depan sampai lah ke restoran ni. Dia agak kedalam. Harus perhati betul-betul.
Lagi satu restoran seafood ada kat Kuah. Chinese restoran. Wonderland nama kedai ni. Restoran ni sama deretan dengan EE Burger cuma deretan dia ke depan lagi. Sentiasa penuh dengan pelanggan.
Wan Thai Restaurant kat Kuah. Restoran ni pun selalu ramai. Saya sukakan dessert dia. Ehmm..memang sedap, pulut mangga dan lompang. Sedap betul.

Kalau teringin nak makan pek nga (ni sebutan orang utara. Menurut arwah tok saya maksud pek nga tu tempek di belanga) Kalau sebutan sebelah selatan lempeng lah. Ada tiga tempat di Langkawi yang saya tahu jual makanan ni untuk breakfast. Satu di Padang Matsirat (sebelah klinik Delima) dekat sekolah menengah Tengku Putra. Kedai kopi ni semua ada kecuali roti canai sebab dia orang dah buat pek nga ni. Pulut dan ikan masin ada, mee/bihun goreng ada, roti jala ada, nasi lemak ada dan sedap. Harga pun murah.
Oh dah hampir terlupa pulak pasal gerai pek nga yang lagi dua tu. Satu kat Jalan Nyior Cabang. Kalau dari Ulu Melaka menghala  ke Pdg Matsirat, bila dah lepas sikit perumahan Taman Wawasan 2 (ada dua Taman Wawasan di sini) ada simpang kecil. Jangan ambil the first simpang, jalan terus dulu. Lebih kurang 70 meter macam tu, ada satu simpang tiga. Ambik kanan. Kedai dia sebelah kanan jalan di tepi sungai kecil. Susah saya nak explain sebab tak ada landmark yang obvious. Lagi satu pun tak jauh dari kedai ni. Tapi kalau dari Ulu Melaka juga, lepas dua2 simpang yang saya sebut tadi. Terus ke depan sikit lagi. Dah boleh nampak sebelah kiri.

Pantai Cenang. Kalau dah terdesak sangat bolehlah makan kat sini. Rata-rata restoran kat sini memang harga gila-gila. Tapi mungkin dia orang terpaksa sebab harga sewa kedai pun mahal. Ada satu kedai nama Harom Aroma. Bertentangan Underwater World. Rasanya terlalu mahal harga dia. Seekor ikan keli, 1 potong terung, sikit ulam dan teh o ais limau, harga dia RM 11.00. Saya tak tahu lah kalau orang dari luar Langkawi harga ni ok tapi bagi kami kat Langkawi harga ni dah agak melampau.
Restaurant Haji Ramli. Orang dari luar Langkawi kata sedap dan murah tapi bagi saya mahal. Tapi ada satu dish dia yang saya suka, moi ayam. Dah lama saya tak kesana tak tahu pulak samada masih ada lagi ke atau dah tak buat. Saya sarankan kalau dah malas nak cari tempat jauh-jauh dari Pantai Cenang ni pergi aja ke satu kedai makan ni, minta maaf saya tak ingat nama kedai ni. Tapi saya boleh bagi panduan nak ke situ. Dari Pantai Cenang menghala ke airport. Lepas sikit dari Pelangi Hotel, ada simpang tiga. Ambik kanan. Jalan terus (kalau kita tengok kat sebelah kiri kita ada deretan kedai2, termasuk Rest Hali Ramli 2). Dalam 50 meter selepas deretan kedai ni dah sampai. Kedai kampong. Sebelah kiri. Memang murah dan banyak jenis lauk kampong yang sedap.

Pasar malam kat Langkawi. Hari Isnin kat Ulu Melaka.Hari Selasa kat Kedawang (Padang Wahid), hari Rabu, Kuah, hari Khamis kat Temoyong (sebelum Pantai Cenang), hari Jumaat (Air Hangat), hari Sabtu di Kuah sekali lagi dan hari ahad di Padang Matsirat.

Panjang jugak menulis pasal tempat nak makan ni ya. Kalau ada sesiapa nak tanya lebih lanjut, boleh email kepada saya. Ada banyak lagi tempat-tempat makan ni tapi dah panjang sangat nanti anda semua malas nak baca pula.
Jadi sampai disinilah dulu. In sya Allah, lain kali kita berjumpa lagi.

Salam Ramadhan dari saya,
Rose
13th.July '13