Loghat Utara

Assalamualaikum semua,

Tengok tajuk di atas dah tau saya nak tulis pasai apa kan hari ni? Negeri negeri yang termasuk dalam daerah utara adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan separuh dari Perak.
Kita orang sebelah utara ni ada banyak perkataan sendiri yang negeri lain tak paham langsung kalau kita gunakan. Separuh orang suka dengar loghat kita, separuh pulak rasa kasar sangat penggunaan ayat dan perkataan kita dan separuh lagi rasa malu nak cakap Kedah bila dah merantau jauh ke negeri negeri lain. (selalunya kalau loghat utara ni orang sebut cakap Kedah, kan)

Bagi saya, walaupun saya asal dari Pulau Pinang, tapi dah hampir separuh hayat saya tinggal di Kedah ni, dah jadi sebati dengan negeri ni dan juga orang-orang dia. Suami saya pun orang Kedah. Arwah tok saya dulupun ramai saudara mara dia berasal dari sini. Dari dia lah saya dapat banyak perkataan yang agak lucu bunyinya masa kecik-kecik dulu.
Umpamanya kalau dia marah kami, anak cucunya (yang ramai kat rumah dia masa cuti sekolah), ayat dia lebih kurang macam ni, "Budak-budak ni, depa terbit pi mai pi mai dengan kaki belutin bukan reti nak basuh dulu."
Hah, boleh faham ke ? Kalau orang utara rasanya memang dah boleh faham tapi kalau orang dari Pantai Timur atau Selatan, mau nya garu kepala jugak nak terjemahkan ayat di atas.  Belutin tu maknanya kotor dan terbit tu maknanya keluar. Lagi satu, dia akan kata, " Pi kedai beli tepung jawi kat tok sat". Saya dah hampir terlupa apa makna tepung jawi tu sampai baru2 ni saya terdengar dalam drama Kiah Pekasam bila depa sebut perkataan tu baru teringat balik. Tepung jawi ialah tepung beras pada sesiapa yang tak tahu.
Ni lagi satu, "Cuba tengok muka tok wan hang, perat saja. Marah kat tok lah tu" (tok wan tu atok bagi sebelah utara  dan tok pula bagi nenek) Perat tu maknanya muka masam, tak tahu nak senyum.

Ada dua orang kawan saya yang tinggal di Kuala Lumpur dah berpuluh tahun tapi loghat Kedah depa pekat macam tak pernah keluar dari sini. Shima, salah sorang teman saya ni, budak Alor Staq kalau tak silap, dia punya Kedah punya pekat sampai pembantu rumah Indonesia dia pun cakap Kedah. Dari dia saya dapat satu perkataan yang saya ingat dan pakai sampai hari ni. Saya jarang dengar orang lain pakai perkataan ni. Keciwi. Ada sesapa tau makna keciwi. Makna nya sesuatu yang kita teringin sangat nak buat dan tak jemu-jemu. Contoh ayat, " Kak Rose, aku tengah keciwi nak bawa kereta ni. Maklum la baru dapat lesen."

Jom kita tengok perkataan yang lain:
1) Kejan : Suruh/minta buat sesuatu dengan segera atau tak sabar sabar. Contoh ayat : Menyampah betul lah dengan bos ni, dah la kita sibuk, dia pulak dok kejan suruh cepat siapkan kerja dia."
2) se belit - buat sesuatu sekejap. " Jom kita main snooker sebelit sebelum balik." Contoh ayat.
3) liau  - merayau-rayau . "Oi, hang nak pi liau mana tu"?
4) mentekedarah : Bahasa kasar menunjukkan makan dengan gelojoh atau menengking seseorang dalam keadaan marah seperti "Hang mentekedarah la sorang2." Kasarnya bunyi.
5) Melingkup : berlalu pergi atau merambus. Nak tengok contoh ayat? " Dia dah melingkup pi dah, lepas aku maki hamun dia tadi.
   ( Kalau perkataan lingkup saja, maknanya rosak.)
6) Loi (cara sebutan nya "loy" ) Makna nya slow dalam satu satu kerja ataupun lembab.
7) Getu makna nya cubit.
8) Raplah (loghat Penang) maksudnya kelam kabut ataupun memberi masalah.
9) Sua makna nya bagi : "Tolong sua sat air tu kat saya."
10) Gerek makna nya basikal.
11) Hemoi makna nya bersikap bersahaja atau buat tak tahu walaupun kita tahu orang tak suka kepada kita, atau orang tak mahu melayan kita, kita tetap melayan orang itu.
12) tungap maknanya mati. Selalunya digunakan untuk binatang. Contoh ayat," Alahai, tungap pulak anak ayam aku ni."

Perasan tak, bahasa Kedah ni, kita banyak short formkan perkataan. Ambik contoh "sekejap," kita di sini sebut "sat" atau satgi.
"Pergi" kita sebut "pi" saja. "Datang" kita sebut "mai". "Sedang" kita sebut "dok".
Tak sempat kita sebut "tak dan".

Kalau nak huraikan satu persatu memang banyak, terlalu banyak. Saya tak tulis semua sebab takut panjang sangat.
 Ada satu lagi cara penekanan ayat bila kita nak menyampaikan sesuatu situasi dengan berkesan. Kita buat perkataan berganda.
Contohnya makanan yang kita makan kurang garam. Kita boleh saja sebut tawar nya gulai ni, tapi kita sebut "tawaq hebiaq". Maksudnya tawaq sangat lah tu.
Kalau manis pulak kita pandai pandai tambah jadi "manih melecaih".
Kalau bodoh kita sebut melebih lebih jadi "bodoh piang".
Kalau pahit jadi "pahit berdengung".

Banyak lagi perkataan berganda ni. DBP sepatutnya boleh cari dan pilih cari perkataan perkataan ni untuk memperkasa bahasa melayu daripada mencedok dari bahasa Inggeris menjadi melayu seperti destination menjadi destinasi, implication menjadi implikasi dan sebagainya.

Bagi sesiapa yang baru nak mula memahami loghat utara, pertama sekali harus faham setiap perkataan yang berakhir dengan huruf S akan di tukar menjadi "aih atau uih" bila dituturkan oleh orang utara. Umpamanya bagus sebutannya menjadi baguih, beras menjadi beraih, terus menjadi teruih.
Sebab tu kalau orang sebelah utara cakap French atau German sebutan depa sedap sebab kedua dua bahasa ni emphasise pada huruf "R". Saya gurau saja.

Kalau perkataan yang berakhir dengan huruf "R" pulak, contohnya calar, kat sini sebut calaq. Sebut betui betui, 'calaq' bukan 'calak'.
Terketar-ketar sebutan nya terketaq ketaq.
"Seluar" sebut seluaq.
Bila di sebut macam tu baru impak dia sampai. Idgham kena ada bila cakap Kedah.

Pada pandangan saya la kan, kalau kita orang utara bergaduh mulut atau berkelahi (sebelah Kedah sebut berkelahi) dengan orang luar dari sini, rasanya orang sini menang banyak. Mau nya tidak, sebutan kita dah la dipendekkan menjadikan kita lebih cepat nak tambah banyak ayat, intonasi kita pulak lebih garang. Cuba tengok situasi penggunaan ayat di sini :
Ayat orang utara, "Awat hang ingat hang terer tara mana sangat, aku bagi penerajang satgi, tak dan sampai rumah kot." Garang tak bunyi ayat tu?
Sekarang kita tengok pulak penggunaan ayat yang sama oleh orang Selatan atau senang cerita K.L., " Ape, kau ingat kau dah terer sangat ke? Aku penendang kang tak sempat sampai rumah kot."

Adik angkat saya di Penang, kembar Fauzi dan Faizal, depa memang pure Penang. Ada sorang kawan depa dari Johor, saya dah tak ingat nama dia. Kalau sesapa sembang ngan dia, memang tak akan tau dia budak Johor tulen sebab lenggok bahasa dia dah sebijik macam budak Batu Ferringhi. Ada sekali dia tidur dirumah saya lama dulu, dia cerita kat saya, katanya masa dia balik Johor, time tu nak makan malam kalau tak silap. Dia dah duduk depan meja, dia jemput mak ke bapa dia, saya dah lupa, macam ni cara pelawaan dia , "Jemput mak atau abah, kita boh dulu". Terkedu sat mak bapa dia nak cuba translate apa yang anak dia cakap .Saya gelak habis hati. Mana la orang tua dia nak paham guna perkataan macam tu.

Sebab tu saya rasa, ini pendapat dan pandangan peribadi saya saja, orang Kedah lebih ngam jadi politician ataupun orang politic. Sebab depa memang berbakat dalam bab bahas membahas ni. Mulut lebih tajam.

Ada satu dua perkataan yang saya tak berapa suka dengar, bunyi kasar sangat. Salah satunya perkataan "betina garit". Bunyi perkataan ni macam orang tu gedik atau jahat sangat. Walhal tak la teruk mana sangat pun. Ada lagi perkataan lain yang saya nak tulis pun rasa tak selesa. Sapa yang cipta perkataan macam tu memang cipta dari hati sebab kita yang dengar pun terkesan dengan perkataan sebegitu.

Arwah bapa saya dulu kalau cakap dengan anak-anak terutamanya anak perempuan, bahasa dia lembut. Sedap kita dengar. Cara soalan dia kalau nak tanya kita dah makan ke belum lebih kurang begini bunyinya ,: Rose, cek dah makan ma?" Ataupun dia mulakan dengan, " Ma, cek tolong ambik rokok bapa sat". Sedapnya bahasa dia.
Kami adik beradik tidak pernah menggunakan perkataan hang atau aku kat rumah. Semua sebut nama. Tapi dengan sepupu sebelah mak, yang paling rapat dengan saya, kami bercakap pakai hang aku. Jadi kadang kadang terlupa, masih gunakan hang aku depan bapa saya. Dia akan pusing dan sound slow aja, "amboi, bapa dengar sedapnya bahasa masing2." Itu ja dia cakap. Kami semua terdiam terus.Lepas tu depan dia cakap sopan panggil nama segala bagai. Tapi belakang dia, tetap..

Itulah serba sedikit yang saya nak tulis pasai loghat utara ni. Memang la kalau kita dengar, loghat kita ni bunyi agak kasar tapi saya suka dengar dan saya bangga dengan loghat kita.
Kalau ada apa yang saya tulis tersilap translation ka atau kurang tepat, sila hantar comment anda. Saya cuba betulkan.

Wassalam dari saya,
Rose
19th.Sept '13